Pages

Friday, October 6, 2023

1st Week of Internship!

Hello assalamualaikum hehe~ Ni boleh dikira sebagai entri pertama sejak semester 7 bermula, yang bermaksud internship aku sudah pun bermula. Walaupun awalnya resah gelisah, namun kini setelah beberapa hari, aku dah mula menyesuaikan diri. Tak sampai seminggu lagi pun tempoh intern tapi disebabkan esok dan lusa ialah waktu cuti, jadi kira setel la one week terus. 

Alhamdulillah, bersyukur sangat sebab staf lab tak layan aku macam budak pandai sebab kitonyo memang tidak cerdik mana. Dorang rajin explain setiap prosedur yang dorang buat, dan sangat penyabar bila mengajar. Grateful yang amat, alhamdulillah. Tapi tentulah, usaha dari diri sendiri masih kena ada supaya cepat faham dan belajar. Setakat ni, kerja memang hanya duduk di tepi dan memerhati (belajar by observation la kiranya) tapi kadang-kadang tu, diberikan jugak peluang untuk hands-on walaupun tak banyak. 

Apa yang membezakan pengalaman lab semasa membuat fyp dan semasa intern ialah the original intent of the lab itself. Dulu, masuk lab memang untuk research dan everything perlu dirancang dengan baik kalau nak perjalanan hari tersebut to go smoothly. Tapi situasi sekarang, commercial lab bergantung kepada sample yang clients bagi. Kalau ada clients, adalah sample untuk dibuat. Kalau tak, memang duduk diam je kat office tu. Kehidupan di lab intern agak tenang, jadi I have plenty of times untuk familiarize myself with the environment and with the people.

Cuma satu jelah aku anggap sebagai cabaran terbesar, which is the age gap between colleagues. I understand, benda ni memang akan wujud in every company pun so, mahu tidak mahu, kenalah juga cuba untuk atasi the gap. Introvert dalam diri ni macam malas nak bersosial tapi cuba la jugak ringankan mulut untuk senyum dan ucap selamat pagi. 

Ikutkan, rancangan asal ialah untuk intern sebagai MLT atau any medical lab sebab nak kerja in healthcare. Masa dapat food testing ni, memang berat hati nak terima walaupun condition dia sangat favorable to my preferences. Tapi, setakat ni alhamdulillah I think I will not regret this choice. The people, the work environment and the nature of the work itself sangat in line dengan my personal characteristics. Betullah kan, kita hanya mampu merancang tapi Allah adalah sebaik-baik perancang.


Sampai situ jelah for now. Jumpa lagi kalau aku rajin! Assalamualaikum.


Saturday, September 16, 2023

Kalaulah...


Dalam hidup ini, ada masa kita diminta untuk membuat pilihan — antara ini atau itu. Mungkin pilihan yang kita buat ketika itu, dirasakan paling betul, tapi fast forward 10 tahun ke depan, mungkin akan ada rasa penyesalan sebab pilihan tersebut. Aku pun, selalu rasa macam tu. Banyak kali rasa menyesal, tapi masa ni mana boleh diputarkan balik. Once lived, you can only go forward. Dan entri kali ini, ialah tentang beberapa perkara yang sering menjadi tulang ikan di tekak aku. Rasanya sangat perit dan menganggu tapi nak tak nak, harus juga ditelan supaya aku boleh teruskan hidup.

1. Berkawan dengan orang yang baik-baik
Ini mungkin agak kontroversi, sebab yelah siapa je yang tahu pengakhiran seseorang tu. Tak semestinya dia budak bermasalah di sekolah, dia akan berakhir sebagai sampah masyarakat. Aku tahu, tapi bukan itu yang aku maksudkan. Masih aku ingat, circle aku ketika Tingkatan 2 dan 3, bukanlah circle pelajar baik. Mereka kebanyakannya melayan penyanyi mat salleh, terutamanya Nicki Minaj dan seangkatannya. Aku punyalah nak fit in, mulalah terima dan sokong culture pelik yang mereka agungkan. Melangkah masuk ke Tingkatan 4 dan 5, makin banyak benda pelik yang aku tolerate in the name of friendship. Nasib baiklah, aku tak berani nak gamble dengan masa depan ketika itu, jadinya aku fokus sehabis baik ketika PT3 dan SPM. Mujurlah... Kalau boleh tekan button rewind, aku masih akan berkawan dengan mereka tapi mungkin tidaklah sampai ingin meniru gaya hidup mereka. Hidup ini bukan berpaksikan kawan semata-mata. 

2. MRSM
Dulu, aku ada mindset yang "belajar kat mana-mana pun sama je, asalkan kita nak belajar". Walaupun keputusan UPSR aku cemerlang dengan 5A, tapi aku tak masuk MRSM seperti yang keluarga aku harapkan. Jujurnya, masa temuduga MRSM tu, aku rasa sangat kecil jika ingin dibandingkan dengan calon lain yang fasih berbahasa Inggeris. Aku masa tu manalah terer nak speaking ni. Terkulat-kulat nak menjawab soalan interview. Memang tak lulus la cerita dia, tapi aku pujuk diri sendiri dengan kata-kata kat atas tu. Takpe, kau belajar je dulu kat sekolah biasa. Nak dijadikan cerita, akak dan adik aku kedua-duanya ialah pelajar MRSM by the time aku Tingkatan 3. Keluarga aku bukanlah keluarga senang, jadi nak membayar biaya yuran MRSM yang banyak tu agak membebankan. Akak dan adik aku tidak nampak, kerana mereka duduk di asrama. Aku yang duduk rumah yang merasa tempias kewangan keluarga ketika itu. Masuk Tingkatan 4, aku padamkan hasrat nak mohon MRSM sebab tak sampai hati nak susahkan mak ayah.

Ingatkan masa tu aku dah redha dengan keputusan tu, tapi bila aku melangkah masuk ke asasi je, aku mula rasa jurang yang besar antara pelajar sekolah harian dan pelajar asrama. Terus terang aku cakap, pelajar asrama terutamanya SBP dan MRSM memang lebih banyak privilege dibandingkan dengan pelajar sekolah harian. Ya, aku tahu mereka pun berusaha keras, malah mungkin lagi keras dari pelajar sekolah harian ni tapi kadang-kadang tu aku terfikir, kalaulah aku masuk MRSM bila aku ada peluang... Mungkin aku tak akan merasa sekecil ini bila jumpa dengan orang yang lagi hebat, sebab dah terbiasa. Tapi bila difikirkan balik, aku tak menyesal sangat pun. Bersekolah di sekolah yang dekat dengan rumah bermaksud majoriti kawan sekolah aku berada di kawasan perumahan yang sama, atau at least dekat-dekat la. Even after high school ends, aku masih berkesempatan untuk melepak sekali dengan kawan sekolah kerana memang duduk setaman. Satu nikmat yang aku syukuri, tak adalah aku bosan sepanjang cuti semester. Akak dan adik aku jarang melepak, kerana kawan mereka kebanyakannya dari negeri yang berlainan. 

3. Main-main masa asasi
Wah yang ini betul-betul aku menyesal sampai sekarang. Dahlah asasi tu setahun je, tak terasa pun masa berlalu. Pastu belajar tak perform pulak tu. Ingat lagi masa tu, pointer 3.5 pun dah buat aku bangga padahal housemates aku semua 3.9 ke atas. Nasib baiklah semester 2 dijalankan secara online. Dapatlah selamatkan sedikit pointer yang tak seberapa. Haih, kalau aku tahulah betapa susahnya nak survive kat degree, dari zaman asasi lagi aku dah pulun belajar baik-baik. 

4. Mohon UiTM sahaja untuk UPU
Sekarang kan tengah musim UPU, maka secara tidak langsung penyesalan ini akan bermain lagi di fikiran saya untuk sekurang-kurangnya 2 bulan akan datang :) Masa asasi, aku sebenarnya dah figure out route yang aku nak untuk degree dan alam kerjaya nanti. I was heavily invested in medical imaging, and aku dah plan siap-siap macam mana perjalanan MI aku nanti. Tapi akhirnya masalah kewangan menjadi masalah nombor satu. Akak aku, aku, dan adik aku beza umur cuma setahun. Tahun ni akak aku degree, nanti tahun depan aku pulak menyusul, dan tahun kedepannya adik aku pulak. Terlalu berat beban kewangan yang mak ayah aku perlu tanggung sementara menunggu kitaorang dapatkan bantuan pengajian. Akak aku cakap siap-siap dengan aku masa nak isi UPU, mohonlah UiTM sebab yuran paling murah. Jadi aku letak la 12 pilihan kursus aku, semuanya UiTM. Of course, aku letak MI sebagai pilihan pertama. Ikutkan, CGPA aku memang lebih dari lepas pun requirements untuk MI UiTM tapi entah kenapa, aku memang rasa tak sedap hati masa nak isi. Berkali-kali aku tanya akak aku, boleh ke kalau aku apply course MI di uni lain sebab aku takut tak dapat first choice. Akhirnya, aku buat keputusan letak UniSZA kat pilihan akhir. Tulah satu-satunya universiti lain di permohonan aku. 

Firasat aku betul. Aku tak dapat first choice aku. Masa semak UPU tu, aku rasa otak aku jammed. Masa depan yang aku plan, tiba-tiba hilang macam tu je. Aku dapat second choice, which is degree bio yang sekarang. Hatta dah tahun terakhir pun, aku masih fikir: Kalaulah masa tu aku ikut gut instinct aku, dan mohon je uni lain dengan course yang memang aku minat, mungkin sekarang aku tak constantly rasa insecure dengan degree aku. Soal duit yuran mahal, boleh je selesai sebenarnya kalau aku belajar betul-betul dan dapatkan JPA atau MARA atau apa-apa lah bantuan yang ada. At least, tak ada rasa berat hati atau menyesal bila kita belajar benda yang kita betul-betul minat. Sampai sekarang, kalau aku nampak video radiographer lalu kat FYP tiktok, memang meleleh air mata penyesalan. 


Hahahahahaha, banyak pulak benda yang aku menyesal eh selama ni. Entahlah, ada benda yang aku boleh terima dengan hati terbuka, walaupun mungkin perlukan waktu. Ada benda, berilah masa lama macam mana pun, akan selalu jadi barah kat hati ni. Susah nak berdamai dengan keadaan. Asyik dihantui dengan perkataan,

"Kalaulah..."


Wednesday, September 13, 2023

PENGALAMAN MENJADI PACA UNTUK PRK


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semua. Rasa macam dah lama betul ek tak update blog, awkward semacam bila nak menaip semula ni huhu. Untuk pengetahuan semua, saya kini masih lagi menikmati cuti semester sebelum memulakan latihan industri pada awal Oktober nanti. Sementara cuti sem ni, tak adalah sibuk mana pun sebab memang tak ada kerja part time atau lain-lain komitmen selain komitmen sebagai anak dara hahaha.

Nak dijadikan cerita, saya berkesempatan untuk bertugas sebagai seorang petugas PACA untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai. PACA tu apa pulak? PACA, atau Polling Agent and Counting Agent, ialah wakil dari parti politik yang terlibat dalam pilihan raya untuk memerhati dan menjadi saksi bahawa prosedur pilihan raya itu berjalan seperti yang termaktub dalam undang-undang. Alang-alang saya mendaftar sekali dengan adik beradik saya, kami meminta untuk ditempatkan di tempat bertugas yang sama bagi memudahkan urusan pengangkutan. 

Nasib baiklah adik lelaki saya dah boleh diharapkan untuk drive jauh hahaha. Akaknya ni dah bertahun tak pegang stereng :D Okay, balik kepada PACA tadi. Jadinya, kitaorang ni sebenarnya mewakili parti la, bukan bekerja dengan SPR seperti andaian awal ketika kitaorang daftar. Tapi benda pun dah daftar, training pun dah terlajak pergi... redah jela cerita dia. Parti apa tu, biarlah yang tahu je tahu.

PACA ni sebenarnya dah mewakili dua jenis ejen dah, iaitu Polling Agent (Ejen Tempat Mengundi) dan Counting Agent (Ejen Mengira Undi). Secara dasarnya, PA akan observe sepanjang prosedur mengundi di tempat mengundi manakala CA pula bertanggungjawab untuk observe prosedur mengira undi dan penentuan undi itu ditolak atau ragu. To my understanding, role sebagai CA lebih penting la untuk memastikan undi itu jatuh ke parti kita. Nanti semasa training, dia akan ajar la macam mana nak jadi PA dan CA ni, serta beberapa undang-undang dasar yang kita perlu tahu supaya tidak digula-gulakan hahaha.

Nak dijadikan cerita, nasib saya dan akak saya mungkin terlebih baik. Kami berdua ditugaskan sebagai PA5 dan CA, bermakna kami ialah petugas PA terakhir dalam syif (4 - 6 petang) dan akan terus menyambung tugas sebagai ejen CA (6 petang - sampailah prosedur mengira undi selesai). Memang pishang sebab adik kitaorang dapat syif pagi, jadinya kenalah juga gerak awal dari rumah walaupun kitaorang syif petang. Menunggu la kat sekolah tu macam orang tak ada masa depan.

Tempat saya bertugas, tekalah sekolah apa hehe

Secara asasnya, setiap parti yang bertanding akan hantar seorang ejen PACA, melainkan kalau calon bebas. Sepanjang saya bertugas sebagai PA5, adalah juga ejen PACA dari parti lain yang menemani saya di kawasan ejen tersebut. Tidaklah awkward sangat. Masih saya ingat, Uncle Ang yang tak lokek ilmu. Nampak muka saya blur sebab first-timer kan, dan beliau la yang rajin menerangkan itu ini. Beliau datang jauh dari Pontian ke Perling, semata-mata untuk terlibat sebagai ejen PACA dalam PRK kali ini. Kalau ikutkan daftar pengundi dalam simpanan, sepatutnya jumlah pengundi di saluran yang saya bertugas menjangkau 600 lebih. Namun, yang turun mengundi pada hari itu cumalah 200+, tak sampai 300 pengundi pun di saluran saya. Mungkin kerana inilah, jurang jumlah kertas undi untuk setiap parti itu agak ketara. 

Apa-apa pun, memang once in a lifetime punya experience. Especially bila kita boleh tengok sendiri prosedur pengiraan undi depan mata. SPR sangat telus ya, setiap prosedur tu memang dia akan tunjuk dekat kita, no matter how miniscule pun. Pengalaman hari itu berakhir pada jam 7.30 petang, memang berkejar nak Maghrib. Nasib baiklah surau dekat je u. Selesai Maghrib, kami serahkan borang yang penting pada ketua kami dulu sebelum bergerak ke lokasi bilik gerakan utama untuk claim duit gaji muehehehe. Sampai je di BGU, memang mengucap panjang tengok que hahahaha. Beratur panjang sampai jalan raya. Kami beratur dalam 3 jam lebih sebelum akhirnya dapat juga pegang duit gaji. Masa tu memang dah lapar tak fikir apa. Gerak balik ke Taman U, singgah FamilyMart untuk makan sekejap. Balik rumah terus collapse.

Pengalaman yang berharga tapi terlalu memenatkan, in my opinion la. Kalau nak rasa sekali seumur hidup, bolehlah try jadi PACA. Sekian itu saja dari saya, jumpa lagi bila saya rajin nak update!

Thursday, July 13, 2023

the power of a smile, i guess


This is very random but anyway, aku baru lepas interview untuk intern di sebuah syarikat A. Agak dekat juga dengan taman aku, plus elaun berbaloi kalau consider aku duduk rumah je. The thing is, yang interview aku tu asks me if I really wanted to be in lab department because apparently, "You nampak outspoken sangat, very suitable to be in sales department." Aku tak tau la itu compliment ke apa tapi aku rasa sangat bewildered sebab aku manusia introvert hahahaha. Then, I realize that I'm basically hehe-ing my way through the interview. Tak tau nak respond apa? Smile, Qillah. Dia puji tiba-tiba? Hehe, je la u. Tak sangka pulak dia perceived those responds as being "outspoken" 🤣🤣🤣 Okay dah tu je, post sebab terhibur hehe.

Bye!

 

Wednesday, July 12, 2023

DONE VIVA!! 😭😭😭


Assalamualaikum everyone!! Seperti tajuk entri yang anda lihat, batch kami sudah pun selesai sesi Viva untuk projek akhir tahun kami pada hari Selasa, 11 Julai 2023. Walaupun thesis masih perlu ditambah baik, namun boleh kata kami sudah pun menghampiri ke penghujungnya. Sikit je lagi ni, esok lusa tau tau eh dah officially graduated. Teruja nak habis, at the same time pun saya jadi lebih appreciative dengan kawan-kawan yang ada. Inilah muka manusia yang sudah menemani perjalanan ijazah muda saya dari semester 1. Walaupun banyak cerita in between, tak kisahlah. Saya akan simpan memori yang best best je hahaha.

"I'm very proud of you tau, Qillah." that is the best thing I've heard today. Yatt, merangkap classmate dan housemate saya, cakap begitu pada saya betul-betul lepas giliran saya present. Terkesima jugalah tapi lebih kepada rasa terharu. Ingat lagi masa awal semester dulu, ada drama air mata dalam bilik Yatt sebab saya stress sangat dengan fyp. Dia la yang dengar saya jerit sambil nangis (perempuan memang suka multitask haha tiber en). Dia jugalah yang teman saya present di Smart Classroom tadi. 

Tadi pun, saya memang dah macam muka orang tak betul. Berbekalkan tidur 30 minit dan perut yang kosong, saya cuba bertahan sebab classmates nak ambil gambar sekali. Jujur, saya dah duduk bersila atas rumput hijau sambil menunggu kawan-kawan set up kamera hahaha. Sabrina, antara sahabat dunia akhirat yang sanggup ikut bersila juga menemani saya. Siap offer supaya saya berbaring berpangkukan riba beliau. Dapatlah juga saya baring 5 minit untuk merehatkan mata walaupun di tempat awam haha. Sab hadangkan cahaya matahari pukul 1 petang supaya saya boleh lelapkan mata dengan tenang. Terharu oo hahahaha. 

Apa-apa pun, saya sangat berterima kasih kepada semua rakan-rakan yang membantu. Yang sudi dengar, yang sudi layan, yang sudi tolong, yang sudi terangkan - terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah SWT membalas jasa anda semua. 

6A1 🤝 6A2

Present sambil peluk iPad is another level of nervous haha

MIC6 people 🤘❤️‍🔥


Nonol, class rep paling function


Dengan Yatt!! 🖤































Tuesday, May 23, 2023

FIELD TRIP FOR ANIMAL BEHAVIOUR @ ZOO MELAKA!


Assalamualaikum semua~ Pada 20 Mei 2023 yang lalu, saya dan rakan-rakan berpeluang untuk pergi ke Zoo Melaka untuk memenuhi keperluan tugasan subjek BIO661, iaitu Animal Behaviour. Masing-masing seronok nak berjalan, lagi-lagi kami ni dah tahun akhir. Masa beginilah nak bonding dan cipta kenangan bersama kawan sekelas. Field trip kami diiringi dengan pensyarah kami iaitu Dr Liyana, bersama dengan dua orang lagi pelajar LI iaitu Haqeem dan Ivey. Kitaorang memang mostly kenal mereka berdua ni, sebabnya kami ni batchmate sebenarnya. Cuma Haqeem dan Ivey ialah pelajar penerapan. Jadi tempoh pengajian mereka lebih cepat la dari kami lepasan asasi/matriks ni, walaupun mendaftar pada sesi akademik yang sama.

Balik kepada field trip tadi, ha tugasan kami sebenarnya agak mudah. Kami diminta untuk memilih satu jenis haiwan, dan memerhati tingkah laku haiwan itu untuk satu ke dua jam. Terdapat dua kali sesi pemerhatian iaitu pada waktu pagi (10 am - 12 pm) dan pada waktu petang (1 pm - 2 pm). Kelakuan haiwan perlu direkod sama ada secara bertulis atau rakaman video untuk disertakan sekali dalam assignment video kami nanti. Tempoh perjalanan dari UiTM Kuala Pilah ke Zoo Melaka dianggarkan dalam 2 jam macam tu, tapi driver bas kami ni mungkin ada bakat terpendam sebagai racer kerana kami cuma mengambil masa 1 jam setengah saja untuk sampai ke destinasi. Tak kisahlah, asalkan sampai dengan selamat.

Oh lupa nak bagitau. Cuma bas pergi balik, sarapan dan makan petang saja yang ditanggung UiTM. Kos lain seperti tiket masuk dan makan tengahari adalah atas tanggungan pelajar sendiri. Masa tu, terbeliak jugalah mata bila check harga tiket atas talian. Mak ai, satu kepala RM43. Tapi demi seketul assignment, gagahkan juga la bayar. Nasib baik, harga yang diberi agak berpatutan. Boleh bagi haiwan makan, boleh naik certain rides for free dan boleh tengok animal show jugak. 

Papehal, kena selesaikan tugasan hakiki dulu baru boleh enjoy. Kumpulan aku asalnya nak buat kafue lechwe, tapi dorang literally duduk bawah shade je mengelak dari matahari. 20 minutes of observation, masih tiada behaviour yang worth noting. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk tukar haiwan dan memilih common waterbucks pula sebagai subjek kami. Aku tak pasti apa nama Melayu untuk common waterbucks, tapi dia basically spesies antelop yang agak besar. Menariknya, coating bulu waterbucks ni disaluti dengan minyak yang menjadikan ia kalis air!
 

Kafue lechwe (Kobus leche kafuensis)


Common waterbucks (Kobus ellipsiprymnus)

Disebabkan kami sampai ketika masa makan haiwan di zoo, maka tingkah laku yang kami perhatikan kebanyakan memang feeding behaviour. Bimbang kekurangan isi untuk video kami, maka setelah perbincangan bersama dengan ahli kumpulan, kami decide nak perhatikan reaksi mereka terhadap stimuli luar (kepada pemangsa, in our case). Common waterbucks berasal dari Sub-Saharan Africa, di mana apex predator mereka ialah haiwan pemangsa seperti singa dan hyena. Kami membuka video ngauman singa di YouTube dan merekod reaksi mereka.

Seperti yang kami jangka, walaupun sudah bertahun dibiakkan in captivity, namun genetik mereka masih boleh mengesan ngauman singa sebagai satu ancaman. The male in the group, yang paling alert sekali dan hanya merenung kami dengan pandangan tajam. Tingkah lakunya juga menunjukkan postur leher yang dominan dan keadaan telinga yang lebih tegang, bersedia untuk mengesan stimuli lain. Disebabkan berasa terancam dengan kehadiran kami di situ, waterbuck jantan acap kali membuang air kecil dan besar untuk menanda kawasan dan sebagai amaran kepada kami untuk menjauhi mereka secepat mungkin. 

Maka bertambahlah input kami untuk video nanti. Selesai satu masalah. Setelah merekod video untuk 30 minit, kami membuat keputusan untuk enjoy pula. Puas kami terokai kawasan zoo itu, walaupun cuaca panas sedikit mengganggu. Sayangnya, cuma ada black panther saja ketika itu. Itu pun, mereka sedang lena tidur di dahan pokok tanpa menghiraukan pengunjung. Habitat harimau dan singa sedang diselenggara. Kalau tak, boleh la rekod pak belang huhu. 

Pelbagai pengalaman menarik yang dapat saya rasai ketika itu, termasuklah memberi makan arnab, kambing dan lembu banteng. Sempat juga kami menonton animal show sementara menunggu waktu Zohor tiba. Kebetulan, lokasi animal show tu betul-betul bersebelahan dengan Reptile Cave. Saya sangat tertarik dengan kehadiran dua ekor ular sawa yang dijaga oleh seorang staf perempuan. Setelah bertanya, rupanya kena bayar tiket Reptile Cave sebanyak RM10 dahulu baru boleh bergambar bersama ular berkenaan. Tak fikir panjang, saya terus ajak kawan saya Nonol untuk membeli tiket. Kami berdua ni memang adventurous lain macam haha.

  
Bersama si kacak


Itu ialah pengalaman pertama saya memegang ular sawa. Nevertheless, it was a pleasant experience. Staf perempuan di situ sempat mengingatkan saya bahawa ular itu agak berat. Setelah diletakkan di leher, baru saya faham maksud beliau. Memang berat haha. Mula-mula tu agak gelabah kerana ular berkenaan kerap bergerak ke arah tudung dan baju saya namun staf di situ sangat tenang. Kata beliau, kemungkinan ular tersebut sedang panas dan ingin mencari tempat berteduh yang sejuk. Beliau mencadangkan saya untuk memegang bahagian leher ular bagi mengelakkan kepalanya bergerak. Setelah dapat mengawal pergerakan kepala ular, saya lebih yakin untuk bergambar dan tidak takut lagi!

Berbeza pula pengalaman saya dengan rakan saya, Yasmine. Ular yang sama tampak tidak selesa ketika dipegang Yasmine dan badannya membelit utuh leher kawan saya. Menurut staf di situ, ular itu sedang bersalin kulit dan lebih sensitif di kawasan badan. Stimuli yang menyakitkan mungkin menjadikan ular itu lebih defensif terhadap sentuhan. Oleh itu, saya bertindak sebagai orang tengah dan membantu Yasmine untuk memegang ular itu ketika bergambar supaya ular itu tidak dapat membelit tubuh kerempeng Yasmine hahahahaha. Elok pulak ular itu apabila diletakkan sekali lagi di leher saya. 

Walaupun berdepan dengan situasi berkenaan, langsung tidak mematahkan minat saya terhadap reptilia berkenaan. Jujurnya, saya mempunyai perancangan untuk membuat kajian terhadap bisa ular untuk projek tahun akhir saya namun atas nasihat koordinator, saya membatalkan hasrat berkenaan huhu. Pun begitu, minat saya terhadap reptilia itu masih tidak pudar. Sedikit sebanyak field trip ke Zoo Melaka ini memberikan harapan baru tentang bidang biologi yang saya mahu ceburi kelak. 

Hari tidak selalunya cerah. Saya telah membeli Nasi Goreng Udang untuk dimakan di dalam bas ketika perjalanan pulang kerana sedang rushing untuk mengerjakan solat Zuhur sebelum pemerhatian petang. Sedang berjalan bersama ahli kumpulan saya, kami dikejutkan dengan serangan seekor monyet dari belakang. Disebabkan masih terkejut, saya tidak menyedari langsung agenda serangan ini adalah nasi goreng di dalam pegangan saya. Monyet itu merentap plastik nasi itu dari pegangan saya dan menggigitnya, sebelum melarikan diri ke atas pokok secepat mungkin. Semuanya berlaku terlalu pantas. By the time saya sedar, monyet itu sudah sampai ke bahagian kanopi pokok. 

Apalah saya boleh buat. Hanya mampu meratapi Nasi Goreng Udang bernilai RM12.90 itu dimakan oleh geng monyet berkenaan. Sudahlah mahal, sudahnya menjadi makanan haiwan lain saja. Tuan badannya ini masih kelaparan. Saya seret badan yang kecewa dan meneruskan juga pemerhatian petang dengan mood yang tidak baik. Kawan-kawan seakan faham gelora di dada dan di perut saya, dan mereka mengakhiri sesi pemerhatian dengan agak cepat. Siap saja tugasan hakiki, saya terus angkat kaki untuk ke kedai makan.

Nak makan!

Ya, saya beli sekali lagi makanan kerana tidak dapat menahan lapar. Badan saya sudah menggigil dan kepala saya sudah terasa ringan kerana berjalan seharian suntuk. Saya makan dengan pandangan yang lebih berhati-hati. Hairannya, field trip kali ini menjadikan saya lebih takut dengan monyet daripada ular! Lega setelah dapat mengisi perut. Kami berjalan-jalan, mengambil gambar, bertiktok dan ada juga yang bermain permainan seperti Merry Go Round dan bumper car di situ. Saya? Oh sudah tidak mampu. Ketika itu, saya sudah duduk bersila di atas lantai sambil menunggu ketibaan bas. Kami balik sekitar jam 4.15 petang.

Secara keseluruhannya, field trip ini jauh lebih memenatkan dari field trip di Ulu Bendul, minggu lepas. Saya sangat menikmati trip kali ini, walaupun diserang monyet dan mengalami krisis kelaparan. Saya anggap semua itu sebagai salah satu pengalaman dan kenangan berharga saya sepanjang pengajian ijazah di Kuala Pilah. Saya rasa setakat ini sahaja. Kita jumpa lagi di entri lain (kalau rajin hehe).

Assalamualaikum.






Thursday, April 20, 2023

No more Fendi.

20/4/23: Fendi, kucing gemuk kegemaran adik aku dah takde. Few days ago, adik aku terlanggar dia masa on the way nak pergi terawih. We sent her to the vet, and paid for the surgery. Originally, adik aku dah plan nak bawak dia sekali ke Jasin, duduk kat rumah sewa supaya adik aku boleh jaga dia after surgery tu. But this morning, we received a call from the clinic stating that Fendi died in her incubator. Adik aku masuk bilik aku and delivered the news to me. To be honest, I'm not a cat person. God, aku takut kucing. But Fendi has been with us for quite some time. Dia bukan kucing kitaorang but our family feeds her and other stray cats in the area as well. Dia selalu meleset dengan adik aku, and my brother himself is very fond of her. Aku tau, adik aku rasa bersalah for accidentally hitting her that night. He was quiet today. He tried to humor himself with jokes but tahla, I guess he's trying to cope with her death. I get it now. Kematian haiwan peliharaan, or at least, animals that we are fond of, can be quite traumatizing. Rest in peace, Fendi. 

Wednesday, April 12, 2023

LIFE AS FINAL YEAR STUDENT


Assalamualaikum wbt, salam 22 Ramadhan. 

Dah lama rasanya tidak menulis di sini, rasa kekok pulak nak karang ayat hahaha. Hari ini terdetik nak tulis update kehidupan sebagai pelajar tahun akhir, sekadar untuk kenangan bila dah habis belajar nanti. One thing yang aku tak menyesal buat ialah my decision to not continue my penggal as Sekretariat MPP for this semester. Nasib baiklah, for once, aku dengar nasihat akak dan senior supaya fokus je dengan FYP. Ternyata benar ya anak-anak, bila dah semester akhir ni, memang hidup kita hanya berpaksikan FYP je. Memang tak larat la nak balance antara pelajaran dan komitmen organisasi (at least for me la huhu).

Jadual kuliah memang banyak lopong, tapi tetap juga kena menapak ke bangunan fakulti untuk siapkan FYP. Masuk pagi, keluar petang. Balik rumah, uruskan tugasan lain pulak. Malam, baca jurnal and plan research task untuk hari seterusnya pulak. Tau-tau, dah 1-2 pagi. Tidur, bangun awal pagi untuk sahur, dan ulanglah rutin yang sama setiap hari. Aku punya penat tu, sampaikan roommate aku bagitau yang aku mengigau sebut berapa banyak agar nak prepare untuk plate aku hahahaha. Pun begitu, hilang penat lelah dalam makmal bila result yang kita dapat selari dengan apa yang kita mahukan. Rasa worth it sangat. Tapi itulah, nak dapat result nice bukannya boleh sekali try je. Ada jatuh bangunnya, tapi in the end, memang akan puas hati bila finally dapat. 

Tetap slay walaupun agar koyak rabak kena stab dengan bacterial cultures 🤣

One thing yang aku sangat bersyukur ialah, I was surrounded by good circle of friends in the lab. Nasiblah aku tak buat molecular ke, atau animal studies ke, sebab makmal tu semua kat aras 5. Selalunya students tak ramai yang pilih those field, so makmal aras 5 sangatlah sunyi dan depressive ya. Di MIC6 (makmal penyelidikan mikrob) kat aras 3 ni, hari-hari memang akan ada orang, jadinya tidaklah kesepian sangat sambil bereksperimen tu. Kita pun bolehla bertanya orang andai ada kekeliruan dan sebagainya. 

Alhamdulillah, syukur sangat yang kawan aku semua jenis melayan je bongok aku dalam lab tu. Aku tanya soalan yang basic pun, dorang akan explain betul-betul nak bagi aku paham. Procedure yang aku tak reti sangat nak buat, contoh macam observe gram staining under microscope, dorang akan tolong. Shout out to Dini and Izhu for helping me with gram staining huhu. I know microscopic skills tu macam basic gila tapi rabun dan silau aku tinggi sangat hahaha. Susah nak nengok without straining my eyes.

 
"Posing pat, aku nak letak gambar korang kat Acknowledgement thesis aku 😂." 

Actually, aku nak tulis entri ni sebab today, I finally manage to observe the stain under microscope on my own. Nampak cam small achievement tapi aku bangga hehe. Sepanjang kat lab tadi, aku rasa berterima kasih sangat sebab apa yang Dini and Izhu ajar tu melekat dalam otak. Tak menyesal aku ringankan mulut nak bertanya, walaupun rasa segan sebenarnya sebab tanya soalan basic huhu.


Mentally wise, aku rasa macam aku agak stabil semester ni. Walaupun mulakan semester dengan menangis sebab terlalu anxious with the uncertainty, but setakat minggu keempat ni, not bad la. Aku dah set mentaliti: "it is what it is". Kalau eksperimen tak jadi, repeat je la. Apa masalahnya? Method kena tukar last minute, betulkan je la. Tak payah nak overthink semua benda, and just get the works done. Dah semester akhir ni, enjoy je la selagi boleh enjoy. Selagi boleh hidup sheltered di uni, hiduplah sebaik mungkin. Gituh.

Kesimpulannya, hidup aku agak hectic tetapi masih boleh diuruskan. Tak tau dah berapa kali aku ulang ni, tapi aku bersyukur dengan circle aku sekarang. Alhamdullilah, alhamdulillah. Tu je kot setakat ni, jumpa lagi di entri akan datang!

Assalamualaikum.


Friday, January 20, 2023

FYP 1: Aduh, ada presentation pulak!

Assalamualaikum semua~ Kembali lagi bersama saya dan perjuangan final year project saya yang tidak berkunjung habis. Malas dah ni sebenarnya tapi perjuangan tetap harus diteruskan sehingga ke penghujung semester. Cerita dia begini, batch saya ni tiba-tiba digemparkan dengan pemakluman pembentangan untuk research proposal kami. Batch atas-atas takde pun pembentangan sebegini, sebab takde markah pun. Lagi perit, setelah hampir 2 tahun kuliah atas talian, pembentangan kali ini adalah berbentuk fizikal yang akan dihakimi oleh 5 ke 6 panel pensyarah.

Bayangkanlah, semasa entri ini ditaip, saya sebenarnya masih belum siap proposal. Lagi kelam kabut la jadinya, ditambah pula sedang minggu kritikal untuk penghantaran assignment dan sebagainya. Bertambahlah stress saya huhu. Senarai masa dan tempat pembentangan sudah pun dikeluarkan oleh koordinator kami. Saya ditempatkan di Smart Classroom 2, dan waktu pembentangan seharusnya pada jam 9.30 pagi. 

Nak dijadikan cerita, disebabkan semalaman pulun nak siapkan research proposal dan juga slaid, saya terlajak tidur pada pagi hari pembentangan tersebut. Celik mata, dah pukul 9.00 pagi. Perempuan ni, nak bersiap mana cukup 30 minit. Nak mekap lagi, nak gosok baju dan tudung lagi, nak prepare mental lagi... Memang kelam kabut dah time tu. Syukurlah saya ni memang penggemar fesyen ironless. Tudung takyah gosok, baju takyah gosok, seluar pun takyah gosok. Nasib baik jugak ada roommate yang bawak kereta. Bolehlah dia tolong hantarkan saya sampai di bangunan akademik.

Ingatkan dah lambat masa tu, ternyata calon lain masih ralit dibantai oleh panel. Syukur sempat sampai tapi ada satu lagi masalah baru. Den lapo gila masa tu. Tak sempat sarapan tapi tak berani nak tinggalkan bilik tu. Tahanlah sampai giliran saya bentang. Seperti yang dijangka, saya dibantai tanpa belas kasihan. Pensyarah tanya bertubi-tubi, sampai terbelit lidah den nak menjawab. Kawan-kawan dah tayang muka kesian, tapi saya tebalkan juga muka habiskan pembentangan yang tidak berapa nak semenggah tu. Jujur cakap, masa tu memang dah bergenang air mata.

Personally, aku anggap kesilapan aku dalam penulisan proposal itu ialah kesilapan yang minor - yang sepatutnya boleh dibetulkan dan ditegur dari awal lagi oleh penyelia saya. Tapi tak apalah. Mungkin Tuhan nak bagi saya ni kuat sikit kot. Habis je present, saya terus angkat kaki dan balik ke kolej kediaman. Sebenarnya, kawan-kawan adalah ajak makan and bergambar sekali. Tapi alamak, saya tengah beremosi la masa tu. Serious takde mood nak bersosial. Rasa cam nak balik baring atas katil je hahahahaha. 

Sampai rumah, housemates pulak tanya tentang pembentangan saya. Masa ni dah rasa serabut yang amat. Saya menyorok kat tingkat 1 and nangis puas-puas kat situ T.T Habis cair maskara aku. I think, that was the hardest I have ever cried during degree. Macam saya cakap kat atas tu, kesilapan saya sebenarnya kecik je. Boleh dan sempat je sebenarnya nak dibetulkan. Tapi mungkin tekanan week 13 yang menjadikan segalanya terasa overwhelming. 

Puas nangis, saya balik bilik dan terus betulkan proposal tanpa berlengah. Belle dan Muna datang nak pujuk, tapi saya end up tak pandang muka dorang pun. Tak sanggup aih, nanti aku nangis lagi huhu. Pun begitu, syukur alhamdulillah proposal FYP 1 saya sudah diterima without correction. Boleh proceed untuk FYP 2 pulak.

Rasa kelakar bila fikir semula, tapi mungkin Tuhan nak bagi aku tergolek sikit supaya boleh bangun lagi kuat dari sebelum ni. Take it as lesson from me: jangan serabutkan diri you sendiri dengan kesilapan yang minor. Slow-slow do. Take one step at a time. Boleh punya tu. Ha tu je lah rasanya nak tulis.

Jumpa lagi dalam penulisan slash rant lain pulak!

Assalamualaikum,

Qillah signing out xoxo

Wednesday, January 11, 2023

BUMIPUTERA TERLALU SELESA?

Assalamualaikum dan selamat petang, semua. Bukan isu kontroversional yang saya hendak garapkan pada petang ini; cukup sedikit refleksi diri tentang keistimewaan atau privilege yang saya ada di tanah air ini. Terbitnya ilham untuk menulis entri ini kerana teguran secara halus oleh pensyarah Neurobiology kami, iaitu Dr Aida. Dr Aida bukanlah seorang pensyarah yang garang, pun bukanlah pensyarah yang boleh diinjak-injak. Karisma beliau memang terserlah sama ada dari segi penampilan, mahupun dari segi cara pengajarannya. Apabila beliau sendiri yang memilih untuk menyampaikan pesanan khidmat masyarakat mewakili para pensyarah lain, tersentak jugaklah hati ni. Dicucuk bertalu-talu dengan setiap ayatnya - dengan harapan anak bangsa Universiti Teknologi MARA ini sedar bahawa keistimewaan kita sebagai bumiputera tidak seharusnya menjadikan kita leka.

Kata beliau, "You guys ni ada privilege yang kaum lain tiada, sebab tu you guys lebih entitled and selesa dengan apa yang ada sekarang. Tapi you guys kena ingat, kaum lain sedang berusaha dua, tiga kali ganda lebih gigih dari you guys disebabkan mereka tiada privilege ini. Bila you guys keluar kerja nanti, kalau you guys tak boleh nak buktikan kredibliti you sebagai graduan UiTM, memang you guys kene pijak!"

Jujur saya katakan, saya yakin dan percaya majoriti kawan saya ketika itu mungkin masih ego dan tidak mahu menerima teguran ini. Dan saya juga tidak salahkan mereka. Minggu ini ialah minggu yang sangat memenatkan. Ada yang tidak cukup tidur, ada yang langsung tidak tidur. Ada yang sudah menangis di hadapan komputer riba, ada yang tidak terdaya untuk meluahkan sepatah rungutan pun. Tatkala emosi dan mental masing-masing sedang di tahap paling rendah, ditekan pula dengan kenyataan yang ternyata ramai pensyarah tidak berpuas hati dengan batch kami kerana kami dikatakan tidak mencari pensyarah untuk berbincang. Pelajar dianggap tidak berusaha sesungguh-sungguhnya untuk menyelesaikan projek tahun akhir mereka. Siapa saja yang tidak akan down, tidak akan kecewa mendengarkan perkara ini?

Saya faham, dan saya juga faham di mana datangnya kekesalan dari pihak pensyarah. Satu ayat yang dikatakan Dr Aida hari ini, yang membekas di hati saya sampai sekarang tatkala entri ini sedang ditaip.

"Bangunlah, you guys. Takkan Melayu nak gagal di tanah air kita sendiri?"

Sangat membuka mata dan menyedarkan hati yang khilaf. Mungkin sebagai pelajar, kita terlalu selesa dengan keistimewaan atau status quo yang kita ada, sampaikan kerja hakiki sebagai seorang pelajar dianggap sebagai beban. Oh, kaumku. Sedarkah kita bahawa nikmat pendidikan yang kita sedang nikmati ini, ialah suatu yang langka dan tidak dapat dirasai oleh semua orang? Sudah diberi peluang dan ruang untuk menuntut ilmu di menara gading, dimudahkan pula urusan pembelajaran dengan yuran yang murah dan kos sara hidup yang tidak begitu membebankan. Pelbagai bantuan kebajikan dan kewangan telah disediakan untuk pelajar, hatta ada sesetengah cawangan UiTM yang memberikan sumbangan komputer riba kepada pelajar. Cukup banyak program selain akademik yang dibenarkan untuk dijalankan demi memeriahkan suasana di kampus. Apa lagi yang tidak cukup?

Entah di mana silapnya. Adakah datangnya dari diri kita sendiri ini yang mudah berpuas hati dengan zon selesa kita? Atau mungkin khilafnya adalah kerana para pelajar masih belum mengenali penyelia mereka dengan lebih rapat. Mungkin kurang komunikasi dua hala, atau mungkin ada alasan peribadi. Yang pasti, saya harapkan rakan-rakan yang lain (termasuklah diri saya sendiri) dapat memperbaiki hubungan dengan penyelia dan pensyarah lain juga. Keberkatan dalam menuntut ilmu itu bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Semoga teguran Dr Aida pada hari ini sedikit sebanyak mendatangkan rasa kesal dan malu dalam diri pelajar lain, sebagaimana saya rasa sekarang.

Kepada yang membaca, tidak kira bangsa mahupun agama, bukalah mata dan telinga. Lihat di sekeliling kita, masih ramai yang sedang berusaha untuk mendapatkan persuku keistimewaan yang kita ada. Nikmat apa lagi yang kalian ingin dustakan?

Assalamualaikum.

Sunday, January 1, 2023

SELAMAT TAHUN BARU!

Assalamualaikum, semua~ Tak sangka dah 2023, rasa macam baru semalam je buat blog ni. Pejam celik, batch 2001 sudah pun berusia 22 tahun. Ada yang seusia saya, sudah berkahwin dan mempunyai anak. Ada yang merantau jauh untuk menyambung pelajaran. Ada juga yang terus bekerja untuk menyara kehidupan masing-masing. Nak buat recaps macam saudara Daniel tapi saya ni otak semut, cepat lupa hahaha. Tak apalah, saya post ucapan tahun baru je hehe.

Sejujurnya, tahun 2022 bukanlah tahun terbaik untuk saya. 

Tahun yang agak emosional dan terumbang-ambing. Kadang kat atas sangat, kadang tu jatuh tergolek macam nangka busuk. Apa-apa pun, saya bersyukur masih di sini; masih boleh tulis sepatah dua kata di blog ni. Mujurlah Tuhan tak tarik nikmat emotional support saya, ada la jugak bahu nak bersandar dan telinga yang sudi dengar saya menangis hahahaha.

Semoga 2023 ada sinar. Selamat tahun baru, semua!

all time popular!