Pages

Wednesday, January 11, 2023

BUMIPUTERA TERLALU SELESA?

Assalamualaikum dan selamat petang, semua. Bukan isu kontroversional yang saya hendak garapkan pada petang ini; cukup sedikit refleksi diri tentang keistimewaan atau privilege yang saya ada di tanah air ini. Terbitnya ilham untuk menulis entri ini kerana teguran secara halus oleh pensyarah Neurobiology kami, iaitu Dr Aida. Dr Aida bukanlah seorang pensyarah yang garang, pun bukanlah pensyarah yang boleh diinjak-injak. Karisma beliau memang terserlah sama ada dari segi penampilan, mahupun dari segi cara pengajarannya. Apabila beliau sendiri yang memilih untuk menyampaikan pesanan khidmat masyarakat mewakili para pensyarah lain, tersentak jugaklah hati ni. Dicucuk bertalu-talu dengan setiap ayatnya - dengan harapan anak bangsa Universiti Teknologi MARA ini sedar bahawa keistimewaan kita sebagai bumiputera tidak seharusnya menjadikan kita leka.

Kata beliau, "You guys ni ada privilege yang kaum lain tiada, sebab tu you guys lebih entitled and selesa dengan apa yang ada sekarang. Tapi you guys kena ingat, kaum lain sedang berusaha dua, tiga kali ganda lebih gigih dari you guys disebabkan mereka tiada privilege ini. Bila you guys keluar kerja nanti, kalau you guys tak boleh nak buktikan kredibliti you sebagai graduan UiTM, memang you guys kene pijak!"

Jujur saya katakan, saya yakin dan percaya majoriti kawan saya ketika itu mungkin masih ego dan tidak mahu menerima teguran ini. Dan saya juga tidak salahkan mereka. Minggu ini ialah minggu yang sangat memenatkan. Ada yang tidak cukup tidur, ada yang langsung tidak tidur. Ada yang sudah menangis di hadapan komputer riba, ada yang tidak terdaya untuk meluahkan sepatah rungutan pun. Tatkala emosi dan mental masing-masing sedang di tahap paling rendah, ditekan pula dengan kenyataan yang ternyata ramai pensyarah tidak berpuas hati dengan batch kami kerana kami dikatakan tidak mencari pensyarah untuk berbincang. Pelajar dianggap tidak berusaha sesungguh-sungguhnya untuk menyelesaikan projek tahun akhir mereka. Siapa saja yang tidak akan down, tidak akan kecewa mendengarkan perkara ini?

Saya faham, dan saya juga faham di mana datangnya kekesalan dari pihak pensyarah. Satu ayat yang dikatakan Dr Aida hari ini, yang membekas di hati saya sampai sekarang tatkala entri ini sedang ditaip.

"Bangunlah, you guys. Takkan Melayu nak gagal di tanah air kita sendiri?"

Sangat membuka mata dan menyedarkan hati yang khilaf. Mungkin sebagai pelajar, kita terlalu selesa dengan keistimewaan atau status quo yang kita ada, sampaikan kerja hakiki sebagai seorang pelajar dianggap sebagai beban. Oh, kaumku. Sedarkah kita bahawa nikmat pendidikan yang kita sedang nikmati ini, ialah suatu yang langka dan tidak dapat dirasai oleh semua orang? Sudah diberi peluang dan ruang untuk menuntut ilmu di menara gading, dimudahkan pula urusan pembelajaran dengan yuran yang murah dan kos sara hidup yang tidak begitu membebankan. Pelbagai bantuan kebajikan dan kewangan telah disediakan untuk pelajar, hatta ada sesetengah cawangan UiTM yang memberikan sumbangan komputer riba kepada pelajar. Cukup banyak program selain akademik yang dibenarkan untuk dijalankan demi memeriahkan suasana di kampus. Apa lagi yang tidak cukup?

Entah di mana silapnya. Adakah datangnya dari diri kita sendiri ini yang mudah berpuas hati dengan zon selesa kita? Atau mungkin khilafnya adalah kerana para pelajar masih belum mengenali penyelia mereka dengan lebih rapat. Mungkin kurang komunikasi dua hala, atau mungkin ada alasan peribadi. Yang pasti, saya harapkan rakan-rakan yang lain (termasuklah diri saya sendiri) dapat memperbaiki hubungan dengan penyelia dan pensyarah lain juga. Keberkatan dalam menuntut ilmu itu bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Semoga teguran Dr Aida pada hari ini sedikit sebanyak mendatangkan rasa kesal dan malu dalam diri pelajar lain, sebagaimana saya rasa sekarang.

Kepada yang membaca, tidak kira bangsa mahupun agama, bukalah mata dan telinga. Lihat di sekeliling kita, masih ramai yang sedang berusaha untuk mendapatkan persuku keistimewaan yang kita ada. Nikmat apa lagi yang kalian ingin dustakan?

Assalamualaikum.

1 comment:

all time popular!