Pages

Saturday, November 23, 2024

Just trust me, you will be fine.

Assalamualaikum. Punyalah lama tidak singgah di blog sendiri, rasa nostalgik pula bila baca entri lama. Over the years, tentangseketulaqillah has changed so much. Dari A sampai Z, dari atas hingga bawah, dari kiri ke kanan... banyak sangat yang dah berubah. 

Bukan blog ini sahaja yang berwajah baru, hatta cara penulisan saya sendiri pun sudah banyak berubah. Ah, rasa macam tengok anak sendiri membesar.

Tengok 'Aqillah' membesar. 

Bangga sangat. Syasya will be so proud to know how far Aqillah has gotten.

Jarang nak dapat words of affirmation dari orang lain, so I will give this to me. You are doing well. You are trying as best as you can. Trust me, you will be fine. Jangan stresskan diri sendiri. Dunia ni belum nak runtuh lagi kalau kau berhenti tarik nafas sekejap. Sekejap je, bagi masa untuk diri sendiri. 

Kalau tak boleh nak percayakan diri sendiri at this moment, put your utmost trust to Allah. Trust Allah. Pegang pada 2 patah perkataan tu je, till your lowest moment pun. Semoga Allah permudahkan urusan kita, Aqillah. 

Feeling nostalgic sikit because birthday season always means I am one year older (and closer to the mid life crisis, ughhh).

Till later, bye!

Wednesday, September 18, 2024

Pengalaman Temuduga PDPP

    Assalamualaikum dan salam sejahtera semua! Untuk entri kali ni, saya nak kongsi sikit pengalaman saya masa pergi temuduga Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) kat IPG Kampung Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. PDPP ni sebenarnya salah satu program yang ditawarkan oleh IPGM (dulu dikenali sebagai KPLI atau DPLI). Ringkasnya, ia adalah program diploma pendidikan khas untuk graduan bukan pendidikan yang nak jadi cikgu. Tempoh pengajian setahun je, dan ikut aliran yang ditawarkan – sama ada sepenuh masa (Perdana) atau contract of service (COS).

    Saya mohon untuk PDPP Perdana – yang ni best sikit sebab tajaan penuh daripada KPM dan siap dapat elaun bulanan macam budak PISMP. Tapi, kena ikut syarat kluster ijazah dan subjek yang ditawarkan je. Untuk opsyen Bahasa Inggeris pula, wajib ada kelayakan setaraf CEFR C1. Setahu saya, antara ujian kelayakan yang KPM terima ialah MUET, IELTS, TOEFL dan APTIS. Kalau tak capai tahap tu, memang tak lepas nak teruskan permohonan online. Bila semua maklumat dah lengkap dan layak, baru akan dapat tarikh untuk menduduki e-UKCG (Ujian Kelayakan Calon Guru) secara atas talian.

CEFR tahap C1 = MUET Band 5

    Tip nak jawab UKCG ni – jawab je macam seorang pendidik. Soalan dia lebih kepada nilai dan situasi, jadi mindset tu penting. Ramai juga yang kongsi skema dan contoh jawapan kat media sosial. Alhamdulillah, pada 3 September saya lulus UKCG dan layak ke Ujian Kecergasan Fizikal (UKF) dan temuduga fizikal. Masa tahu je elemen UKF, rasa nak pengsan. Lama dah tak bersenam – otot semua dah pencen awal haha. Mujur adik saya belum mula intern, bolehlah jadi 'coach' tak rasmi. Setiap pagi dia paksa saya pergi taman buat latihan. Terima kasih adik huhu.

    UKF merangkumi ujian bleep 20 meter, bangkit tubi 5 variasi, tekan tubi 1 minit dan jangkauan melunjur. Untuk opsyen PJK, ada ujian tambahan tapi saya tak pasti sangat pasal tu. Walaupun dah berlatih, masa hari sebenar tu memang gigil habis. Habis UKF, terus kena tukar baju dalam masa 15 minit sebelum temuduga pulak. Nasib baik dapat balik ke dorm – lega sikit dapat tukar baju bawah kipas. Calon lelaki? Kena tukar kat tandas luar je. Tabik!

    Temuduga dijalankan dalam kumpulan. Untuk kumpulan TESL B, ada 5 orang. Sebelum sesi bermula, kami diberi masa 10 minit untuk tulis pernyataan hasrat. Boleh je sediakan awal dari rumah, tapi bila dah dalam bilik tu... otak macam kosong terus haha. Antara soalan yang ditanya adalah perkenalan diri, ulasan tentang pernyataan hasrat dan sedikit soalan peribadi, lebih kepada kesediaan kita untuk komited.

Muka sebelum dilanyak oleh UKF

    Saya rasa sebab saya paling muda dalam kumpulan (dan tengah menganggur), panel tak banyak tanya sangat. Rasa lega la juga. Tapi satu yang saya perasan, panel sangat teliti bab dokumen. Berkali-kali mereka semak fail kami – mungkin sebab ni program tajaan penuh, jadi segala kelayakan kena tepat dan ikut syarat. Habis temuduga, terus sambung ke sesi mock teaching. Yang ni memang saya redah je. Gaya pun macam present kat universiti. Tapi tak kisahlah, janji dah cuba sebaik mungkin.

    Secara jujurnya, pengalaman temuduga ni taklah seseram yang saya bayangkan. Malah lebih tenang dari temuduga Startek dulu. Sekarang ni cuma tunggu keputusan pada 25 September nanti. Doakanlah ada rezeki saya kali ni ya. Okay, itu je perkongsian untuk kali ni. Terima kasih sudi baca sampai habis. Jumpa lagi kalau saya rajin update hehe.

Bye! 💞

Thursday, July 18, 2024

End of an Era


Assalamualaikum semua. Setelah tiga bulan menggadaikan jadual tidur dan kesihatan mental bekerja sebagai seorang customer service, yesterday was the day I called it quit. Surat cinta yang telah dihantar sebulan awal akhirnya rasmi berkuatkuasa semalam. Karier yang suku tahun jagung telah sampai ke penghujungnya. Tak tahu apakah rancangan seterusnya, di mana hala tuju kehidupan akan datang -- cuma berpegang pada prinsip "percaya pada rezeki" je at this point.

Jujur cakap, keputusan nak berhenti pada awalnya sangat dipengaruhi oleh tekanan dari mak ayah. Berat hati masa tu tapi dah malas nak bertekak. Kemudian, agaknya Tuhan nak tunjuklah kan kepentingan restu mak ayah. Lepas serahkan surat resign, terus macam-macam isu dengan pengurusan. Masa ini, memang 70% dah menyampah. Pergi kerja dah tak ikhlas. Terdetik dalam hati, nasib baik dah hantar surat. Boleh cau awal, haha.

Bos tanya, HR tanya, akak admin tanya, hatta abang cashier 7-Eleven kat bawah pun tanya, "kenapa berhenti tak ada backup plan?" Memang mampu sengih kera jelah masa ni. Tak tahu macam mana boleh senekad itu but I guess it's the courage of the youth. Ha entahla. Kadang-kadang tu ada juga terselit rasa menyesal. Betul ke aku ni generasi Z yang lembik, tak dapat tahan tekanan pekerjaan? 

"Tak tahu." 

Jawapan yang aku bagi pada semua yang bertanya. Aku memang tak tahu apa yang aku nak dan perlu buat sekarang ni. Cuma tengah perlahan-lahan atur langkah semula, walaupun dalam keadaan serba keliru. Doakan aku, semoga Tuhan tunjuk jalan keluar.  

Terima kasih Startek, untuk pengalaman yang tak ternilai tapi cukuplah sekali je seumur hidup haha. Bye, bye! Jumpa lagi kalau rajin.

Monday, July 1, 2024

TIPS PERSEDIAAN TAMAT PENGAJIAN

Assalamualaikum dan selamat malam, semua. Setelah sekian lama tidak menaip di sini, rasa agak kekok sedikit ketika ingin mengarang ayat tadi. Kejap tulis, kemudian padam. Rasa macam dah lari rentak penulisan tu haha. Maklumlah, kita ni dah hampir dua bulan menaip laporan pelanggan sahaja. Kebanyakannya memang menggunakan singkatan dan perkataan asas sahaja kerana kekangan masa. Berkenaan itu, nantilah saya kongsikan. Hari ini, saya nak kongsi sedikitlah beberapa tips yang boleh mahasiswa tahun akhir buat setelah tamat pengajian. 

Entri ini sebenarnya diinspirasikan dari sebuah video TikTok yang baru sahaja saya tengok beberapa hari yang lalu. Boleh klik sini untuk pautan langsung.

Okay, jadi korang dah habis belajar. Apa langkah seterusnya? Kerja atau mahu berehat dahulu. Yelah, bertahun-tahun bertungkus-lumus untuk dapatkan segulung ijazah. Mesti penat mental fizikal. Tepuk dada, tanyalah diri sendiri. Andai kata mahu berehat sebulan dua, silakan. Ambil masa untuk rangka perjalanan seterusnya. Kalau yang mahu terus melangkah ke dunia pekerjaan, ada beberapa dokumen yang korang kena dapatkan sendiri dari universiti sebagai bukti sudah tamat pengajian. 

Disclaimer: Saya pelajar #UiTMdiHatiku, jadinya konten entri ini lebih sesuai untuk pelajar universiti ungu sebagai rujukan. 

1. SURAT PENGESAHAN TAMAT PENGAJIAN

Pelajar UiTM boleh memuat turun sendiri dokumen surat pengesahan tamat pengajian di laman UiTM Student Portal. Boleh buka di bahagian e-Academic dan skrol ke bawah sedikit. Tekan 'Student Letter', dan pelajar boleh memuat turun sendiri dokumen berkenaan. 


2. MINI TRANSKRIP / TRANSKRIP RASMI

Dokumen seterusnya ialah mini transkrip atau transkrip rasmi. Jika masih baru lagi menamatkan pengajian (dalam seminggu dua macam tu), boleh mohon dulu mini transkrip sementara menunggu transkrip rasmi. Mini transkrip boleh diakses di laman yang sama dengan surat pengesahan di atas, dan perlu membuat bayaran sebanyak RM1.00, jika tak salah.

Untuk transkrip rasmi pula, boleh klik sini untuk pautan ke laman konvokesyen UiTM. Transkrip rasmi ini boleh pilih sama ada mahu self-pickup atau pos ke rumah. Kedua-dua cara tetap perlu melalui bayaran RM10.00 untuk pemprosesan. Jangan risau, walaupun hantar melalui pos pun, dokumen tersebut masih utuh dan tidak keroyok. Pandai UiTM packing kan haha. Adakah salah satu dokumen ini wajib untuk permohonan kerja? Bergantung juga. Kalau nak mohon kerja mengikut kualifikasi ijazah, tentulah kena sertakan bukti dah tamat pengajian kan.

P/S: Saya baru tahu bahawa transkrip rasmi akan diserahkan bersama dengan skrol pengajian selepas konvokesyen. Jadinya, kalau company takde minta, tak perlu mohon pun tak apa hehe.


3. SURAT SENAT

Seterusnya ialah dokumen yang pada saya, ramai juga yang masih keliru dan kurang tahu. Saya sendiri pun baru tahu, melalui video TikTok yang saya ada kongsikan di atas. Surat Senat ialah kenyataan rasmi dari pihak universiti yang mengesahkan bahawa kita ialah pelajar yang akan bergraduat dan akan menyertai sidang konvokesyen pada masa yang telah dibincangkan ketika Mesyuarat Senat. Dalam erti kata lain, ini ialah dokumen yang paling solid untuk validasikan latar belakang akademik kita sebagai lepasan ijazah. 

Umum sendiri tahulah, UiTM ini ialah universiti yang paling lambat sidang konvokesyennya (alhamdulillah, maksudnya banyaklah graduan yang lahir dari UiTM kan haha). Macam saya sendiri, tamat pengajian awal 2024 - dijangka akan bergraduasi pada tahun 2025. Berjanggut nak menunggu. Takkan nak tunggu kosong sahaja? Apatah lagi, permohonan kerja di sektor awam memerlukan tarikh senat atau paling cikai, surat senat itu sendiri.

Saya ikut je langkah dalam video berkenaan tapi untuk ringkasan, pelajar boleh pergi ke Direktori Staf Konvokesyen UiTM atau klik sini. Catit alamat emel pegawai yang bertugas untuk fakulti korang, dan hantarkan sebuah emel ringkas untuk memohon surat senat. Contoh emel boleh tengok di bawah. Sekarang semua dah senang, emel ini sendiri pun saya jana di ChatGPT sahaja. 

Emel Permohonan Surat Senat


Contoh Surat Senat

Saya lampirkan sekalilah rupa surat senat untuk rujukan semua. Tarikh senat itu secara spesifiknya masih belum ada lagi kerana sidang 99 pun masih belum menjalankan istiadat konvokesyen. Kita yang sidang 101 ni memang tunggu je la diam-diam, hahaha.

Untuk persediaan lain itu, benda common la untuk menjejak ke dunia pekerjaan. Siapkan portfolio di LinkedIn, buat resume, kumpul sijil, sediakan salinan sendiri untuk setiap surat atau dokumen pengajian, etc. Paling penting sekali, siapkan mental huhu. Dunia pekerjaan tak sama dengan dunia belajar. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk teruskan ke depan walaupun kaki terasa berat. Sampai sini jelah, saya pun kerja shif pagi esok. Jumpa lagi kalau saya ada idea lain nak tulis haha.

Bye, assalamualaikum!





all time popular!

document.addEventListener("contextmenu", function(e){ e.preventDefault(); });