Pages

Friday, June 5, 2026

Attachment 01: Six Months In!

Assalamualaikum dan selamat malam!

Memandangkan semalam baru sahaja keluar keputusan penempatan guru baharu lagi (jangan tanya untuk lepasan mana, saya dah tak berapa mengikuti perkembangan semasa haha), jadi hari ini terdetik pula untuk menulis sedikit tentang pengalaman enam bulan pertama saya sebagai guru. 

Kalau tak silap, Januari dah pernah saya recap sebelum ini. Februari pula agak kabur dalam ingatan sebab terlalu banyak program bertindan. Mac hingga Mei memang sibuk, banyak sangat benda yang perlu diselesaikan back-to-back. Mujur cuti sekolah 16 hari memberi sedikit ruang untuk para cikgu bernafas. 

1. Pengalaman Pertama Menjadi Pengelola Peserta KOT
Bulan April-Mei ialah bulan yang padat dengan aktiviti sukan sekolah. Jadi, saya selaku satu-satunya wakil guru Gen Z dalam rumah sukan Jingga telah dilantik sebulat suara menjadi pengelola peserta sukan untuk KOT nanti.

Bunyi macam gempak, kan? Haha... Hakikatnya, saya langsung tak tahu apa yang perlu dibuat. Dahlah cikgu baru weh, pengurusan sekolah pun tak khatam lagi 😭. Nak dijadikan cerita, berlaku sedikit miscommunication antara sesi pagi dan sesi petang. Tak ada ribut, tak ada taufantau-tau je nama peserta dah kena key in dalam sistem. Apa, siapa, bagaimanasemuanya saya tak tahu. Memang blank. Ingatkan adalah orang ajar. Timing kena key in tu pula ketika cuti umum. Terpaksalah juga ganggu cuti beberapa cikgu senior untuk bertanya. Malangnya, setiap orang memberikan jawapan yang berbeza. Sudahnya, saya buatlah ikut kefahaman saya sendiri....which is, salah by the way huhu....

Tidak semena-mena saya menyusahkan pihak urus setia sepanjang minggu latihan sukan dan sukantara. Mujurlah guru urus setia tersebut merupakan mentor saya sendiri. Tebalkan muka sedikitlah minta maaf dan minta bantuan mereka untuk betulkan kesilapan saya tu. Sebagai tanda terima kasih, saya belanja la Zus untuk cikgu urus setia. Bukan rasuah ya, lebih kepada a token of gratitude.

Kelakarnya, setelah melalui pelbagai tahap keserabutan, saya tak dapat hadir pun KOT sekolah kerana terlibat dengan bengkel PPD. All that chaos, and I wasn't even there to personally see it to the end??? Menjengkelkan haha. Kalau nak bagi rating, mungkin saya beri -4/10. Bukan sebab pengalaman yang buruk, tapi sebab saya rasa sangatlah tidak kompeten pada waktu itu haha. 

2. Kawan Pertama Saya!
Rasanya kawan-kawan rapat saya dah kenal Cikgu Insyirah melalui posting media sosial saya. Tetapi mungkin tak ramai yang tahu bahawa Insyirah sebenarnya guru MyStep dan hanya bertugas sehingga hujung April. Sedih ekk bila kawan gosip, kawan curhat, dah tak ada di bilik guru. Rasa sunyi sangat bilik guru tu haha. Saya ni dahlah duduk di kubikel hujung sebelah tingkap... Kalau Insyirah tak datang singgah meja saya, memang saya duduk situ bercakap dengan dinding je tau.... 😭

Nasib baiklah kami masih lagi stay in touch di luar sekolah. Insyirah kerap mengajak saya untuk menyertai side quest beliaudari beli barang basah, hinggalah mencari sarapan sama-sama. Terubat sedikit la kerinduan saya, ecehhh. Baru-baru ini, Insyirah telah mendapat kontrak MyStep baru di sekolah menengah adik saya, yang berada di kawasan perumahan saya juga. Makanya, bertambah la peluang untuk gosip selepas ini yeayyyy!

Apa yang menarik, kebanyakan kawan rapat saya di sekolah sebenarnya terdiri daripada ustazah-ustazah. Kak Akmar, Kak Balqis, Kak Hana...

Agak mengejutkan juga, memandangkan saya... ya, saya seperti yang anda semua kenal itulah. Hehe.

Tetapi setakat ini, semuanya berjalan lancar. Kita okay je nak menyesuaikan diri. Saya juga sangat menghargai rakan-rakan guru Gen Z yang tidak jemu mengajak saya keluar melepak selepas waktu sekolah walaupun mereka tahu saya mempunyai strict parents. Kadang diizinkan, kadang tu bye bye next time jelah haha.

Terima kasih kepada Kimi, Fadhil, Safiy, Kak Bed, Kak Ayu dan Kak Farah. Seronok melepak dengan mereka sebab banyak benda baru kita belajar tentang budaya sekolah secara tak langsung, selain daripada mengurangkan kesunyian di tempat kerja haha.

3. Tahap 1 Tak Ada Peperiksaan?
Sebelum cuti sekolah tempoh hari, sekolah saya sebenarnya telah menjalankan minggu peperiksaan selama seminggu. Tetapi hanya untuk murid Tahap 2.

Tahap 1 pula langsung tiada peperiksaan. Semuanya bergantung kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Kalau diikutkan, memang saya dah belajar tentang PBD di IPG tapi teori dan pelaksanaan selalunya memang agak bercanggah. Dalam kelas dulu macam faham dah. Sekali bila kena buat sendiri, barulah nampak kat mana cabaran sebenarnya. Saya sendiri masih lagi cuba untuk memahami tentang pelaksanaan dan perekodan PBD. Timbul juga beberapa persoalan sepanjang 6 bulan pertama ni.

Tak berani nak kata penilaian profesional saya sudah 100% tepat tapi saya ambil sebagai satu pembelajaran berterusan. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar dari guru-guru senior. Setakat ini, memang PBD nilah antara cabaran terbesar untuk guru baru di sekolah.

4. POTLUCKKKKKK
Saya pernah mengadu dengan mama saya bahawa potluck sesi petang tidak semeriah sesi pagi. Silap besar, ya! Potluck sesi petang sebenarnya boleh tahan meriah. Setiap kali ada sambutan khas atau kadang-kadang pada hari Jumaat biasa sekalipun, pantri akan dipenuhi pelbagai jenis makanan.

Dan jujurnya, antara perkara yang paling saya suka ialah dapat merasa air tangan cikgu-cikgu lain. Dia punya sedap tu memang lain macamm.

Setakat ini, sumbangan saya pula hampir sentiasa dalam kategori dessert. Kalau tak kek, mungkin cheesetart buncit Pulai Mutiara. Sedap weh. Satu kotak letak, confirm licin! 

5. Teacher Aqillah dan Kopi
Kalau ada satu identiti yang saya berjaya bina di sekolah sepanjang enam bulan ini, mungkin gelarannya ialah "hantu kopi". Hampir setiap hari saya masuk ke bilik guru dengan dua benda wajib: tumbler air dan secawan kopi. Setiap hari memang tak akan sama.

Yang penting, kopi mesti ada.

Sampai satu tahap, murid-murid pun sudah tahu saya memang penggemar minuman manis. Ada yang belikan Tealive dan berikan pada saya dalam kelas. Tak tahu nak tergelak ke apa haha. Terima kasih belanja Teacher :D

Dan setiap kali saya muncul di pantri, cikgu-cikgu lain sudah boleh meneka ayat yang bakal keluar daripada mulut saya.

"Weh, nak Zus tak?" 

6. Folio PPGB
Cikgu-cikgu baru mesti tahu tentang folio PPGB ni kan? Antara benda wajib yang perlu diselesaikan mengikut fasa dan akan dipantau oleh Ketua Jabatan dan PPD. Untuk yang tak tau, PPGB stands for Program Pembangunan Guru Baharu. Lebih kurang program orientasi macam tu, untuk dedahkan guru baharu pada persekitaran dan budaya kerja di sekolah. Kena siapkan folio fizikal dan atas talian. Serabutnya folio PPGB ni sebab dia berfasa. Maksudnya, kita tak boleh nak siapkan sekali debuk. Kena update secara konsisten ikut fasa dia.

Saya antara guru baru yang dicop "cemerlang" kerana folio PPGB fizikal dan atas talian masih lagi di landasan yang betul dan on-track. Tak pelik sangat, sebab saya memang suka buat dokumentasi atau filing. Alhamdulillah, bahagian folio untuk fasa orientasi telah berjaya disiapkan. Menanti pengesahan guru mentor dan tandatangan GB saja.

7. Misi Memburu 42 Jam HRMIS
Sebelum masuk dunia perkhidmatan awam, saya hanya mengerutkan dahi melihat ibu saya bertungkus-lumus mengumpulkan jumlah jam untuk dikemaskini di HRMIS. Tak faham dan tak mahu faham. 

Tetapi di sinilah saya. Terjebak juga.

42 jam yang perlu dicukupkan untuk program pembangunan kompetensi di HRMIS. Salah satu side quest untuk penjawat awam, terutamanya yang berada di sektor pendidikan.

Pada mulanya saya fikir jumlah itu sikit sahaja. Tengok webinar atas talian, bolehlah kan nak kumpul. Rupa-rupanya, setiap program itu sudah ada jumlah jam dia sendiri. Bayangkan kalau 1 jam... 1 jam... bilalah agaknya boleh siap 42 jam...

Maka, saya jadikan satu rutin setiap malam sebelum tidur. Satu hari mesti cari satu sijil untuk dikemaskini di HRMIS. Alhamdulillah, sekarang sudah hampir separuh. Saya dah mencapai 22 jam kalau tak salah. Sempat ni siapkan sebelum akhir tahun.

all time popular!

document.addEventListener("contextmenu", function(e){ e.preventDefault(); });