Pages

Thursday, January 1, 2026

Selamat Tahun Baru 2026!

Assalamualaikum semua!

Alhamdulillah, syukur kerana kita semua masih diberi peluang untuk melangkah ke tahun 2026. Pejam celik, tak sedar pun umur saya dah masuk fasa yang agak serius (25–30 tahun). 

Pakcik makcik pun dah upgrade soalan tahunan. Tak tanya dah pasal belajar, tapi lompat terus ke pasangan, kerja dan rancangan seterusnya. Maknanya apa, kawan-kawan? Saya pun dah kena mula ambil hidup ni dengan lebih serius la kan haha. 


Masuk tahun baru, rasanya tak lengkap kalau tak buat throwbacks. Kalau perlu gambarkan tahun 2025 dalam satu ayat: tahun yang sangat padat. Terlalu banyak perkara berlaku, sampaikan saya sendiri rasa macam mustahil semua ni terjadi dalam tempoh setahun.

Tapi inilah realitinya—inilah 2025 saya.

Januari 2025

Tahun baru saya bermula di Dataran Pahlawan bersama housemates Bukit Palah—Izzah, Qistina dan Suri. Ini kali pertama saya sambut tahun baru dengan kawan, jadinya agak excited walaupun otak masih fikir pasal final exam.

Tungu countdown sambil bukak iPad untuk ulang kaji Educational Psychology. Seronok tengok bunga api! Seminggu lepas tu, final exam Semester 1 pun bermula. Pengalaman pertama duduk exam IPG yang sangat strict dan memenatkan. Semua paper esei. Minimum 5 markah, maksimum boleh sampai 20 markah. Lepas habis jawab, pergelangan tangan memang rasa macam nak tercabut.

Bila keputusan keluar, terduduk tengok pointer 3.74, sedangkan dekan di IPG ialah 3.75. Beza 0.01 je, tapi nak redha tu kemain susah. Nangis weh dalam tandas, siap jumpa Cikgu Khairi sebab memang tak puas hati kenapa subjek dia dapat B+. Cikgu pun cakap dia dah cuba cari markah lebih tapi memang tak ada. Itulah final lepas dia tanda banyak kali. Terpaksalah pujuk hati sendiri.

Lepas exam, dah tak stress sangat. Bincang dengan Izzah dan Qis, dan akhirnya decide nak pindah rumah sewa yang lebih dekat dengan IPG sebab penat nak bangun awal pagi untuk berebut bilik air huhu. Ajak Izzah naik Bukit Beruang for the plot dan kebetulan terserempak dengan rombongan KKM. Jadi kami ikut je dari belakang; selamat dan dijamin tak sesat haha. Hiking dia santai, cuma monyet memang banyak. Takut nak buka makanan kat situ.

Februari 2025

Tak banyak yang berlaku ketika Februari. Saya pergi kenduri kahwin sepupu di Kota Tinggi. Semester 2 pun bermula macam biasa. Kelas kami tolong Dr Lyn kemas Jabatan Bahasa—buang fail lama, selongkar BBM, ambil mana yang berkenan di hati. Sempat bergurau dengan Izzah, “10 tahun lagi nanti aku duduk sini pulak.” Mana tahu mulut masin, jadi lecturer TESL pula suatu hari nanti.

Trio bas 11 juga buat keputusan pindah ke rumah sewa baru yang lebih dekat—dalam 4–5 minit je jalan kaki. Nama homestay biarlah rahsia. Awal-awal, tuan rumah nampak baik, macam mak-mak. Lega sikit. Tapi… hm. Simpan jelah ek cerita tu. Yang tahu je tahu.

Februari juga menyaksikan kami sekelas (mana yang berkesempatan) ke majlis kahwin Izyani di Labis. Nabila yang dah lama tak drive beranikan diri jadi pemandu dari Melaka ke Labis. Izzah, seperti biasa, navigator setia di seat depan. Qis jadi DJ, manakala saya dan Aisyah duduk belakang dengan tenang, macam tetamu kehormat.

Semester 2 ni semangat belajar saya memang lain macam. Kecundangan semester lepas harus ditebus. Weekend pun sanggup datang IPG untuk study, tapi malangnya Anjung Makmur berkunci. Nasib baik Izzah dah kamceng dengan makcik guard, jadi kami dapat pinjam kunci bangunan. Memang slay betul.

Mac 2025

Masuk Mac, hidup dah start kelam-kabut. Homestay kami blackout tengah malam. Sudahlah kami ni tengah nak mengejar deadlines, tiba-tiba kotak elektrik luar rumah berbunyi pelik, berkilat sikit, lepas tu—dushhh—gelap. Terpaksa tunggu TNB datang untuk repair walaupun mata dah separuh tertutup.

Saya juga sempat explore perpustakaan komuniti di AEON Bandaraya Melaka. Kecil je, tapi okay untuk buat kerja sejam dua. Selesa, cuma tak ada WiFi. Kena guna hotspot sendiri.

Ingatkan rumah baru ni dah bebas dari cencurut. Rupanya, dia naik satu level ke atas—tikus pula. Bukan seekor, tapi berekor-ekor. Saya dan Izzah yang mula perasan. Izzah sebab dia memang alert sikit, saya sebab tikus-tikus ni rajin berbunyi waktu saya stay up. Izzah decide untuk tabur racun tikus dekat laluan mereka, dan… lima ekor mati. Satu keluarga lengkap akhirnya tumpas haha.

Kami ingat selesai dah la isu tikus ni. Seminggu lepas tu, rumah bau busuk sangattt. Decide untuk tengok balik kawasan biasa mereka, kot-kot ada lagi 'ahli keluarga' yang terlepas. Cek bawah sofa, rupanya ada seekor cencurut mati dan dah kembung pun. Patutlah baunya dahsyat semacam. Sayalah yang 'kebumikan' bangkai tu di laman rumah untuk kesejahteraan sejagat.

Dan kalau ingat sampai situ je, silap besar... Suatu malam yang hening, Izzah nampak kelibat ekor hitam berbelang hijau bawah katil dia. Satu rumah panik ingatkan ular. Saya pula yang paling excited sebab, hello, ular kot. Saya jadilah hero Tamil dan cuba untuk cucuk ekor 'ular' tersebut tapi nampak ada kuku??? Kami panggil bomba dan tunggu kat luar sementara bomba cari binatang tersebut. Rupanya biawak la dey hahaha. Dari mana datang pun tak tahu, boleh pulak dia lepak bawah katil orang.

Bulan Mac jugak menyaksikan saya belajar masak bihun haha. Semester 1 dah terer masak maggi goreng. Semester 2 saya abuse masak bihun, bihun, bihun dan kadangkala masaklah pak choy. Bangga wei sebab seketul Aqillah akhirnya rajin nak belajar masak hahaha (kalau tak, memang order je sksk).

Balik kampung untuk raya, sempatlah ajar adik saya si Adam untuk anyam ketupat. Spoiler: sampai sekarang pun dia tak reti la guys.

April 2025

April ialah bulan yang agak bahagia untuk saya. Rasa berbunga-bunga sepanjang bulan ni. Kami ada Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama 2 minggu, yang memerlukan kami pergi ke sekolah dan siapkan laporan dan portfolio. Hari pertama PBS je dah diuji—hujan lebat turun tanpa amaran. Sekolah tu sebenarnya dekat je kalau jalan kaki melalui pagar belakang IPG, tapi sebab hujan dan Grab pula tak ada, kami terpaksa minta tolong abang yang menyewa rumah depan untuk hantar kami ke sekolah. Alhamdulillah, abang tu sudilah tolong adik-adik yang menyedihkan ni haha. Thank you abang, jasamu tetap dikenang.

PBS ni membuka banyak pengalaman “pertama kali” untuk saya. Pertama kali relief, jaga murid, jaga kokurikulum, main game dengan budak-budak, dan macam-macam lagi. Kami juga bersihkan bilik tayang, kemaskan perpustakaan, belajar serba sedikit tentang pengurusan library—part ni saya suka, sebab memang ada angan-angan nak jadi cikgu perpustakaan suatu hari nanti. Sambutan raya di sekolah pun meriah. 

Bulan April juga menandakan comeback rutin brisk walk saya—sebab dah tersuka orang, hehe. Tak berani nak ngorat dia kalau saya gemuk. Dia tu bekas PALAPES huhu. Hampir setiap petang saya briskwalk dalam 10,000 langkah di kawasan Serindit Park, sambil tengok biawak dekat tasik. Honestly, healing betul.

Masa nak habis PBS, kami bagi hadiah kecil kepada semua cikgu di sekolah. Tapi hadiah untuk dia… saya selitkan extra coklat. Taktahulah dia perasan ke tak uhuk. Anyway, sebagai kepochi berjaya, saya ceritalah pasal crush saya tu pada pensyarah. Rupanya ramai yang kenal mak dia. Tak pasal-pasal semua pakat nak kenenkan saya dengan dia. Adeh, tacoddd.

Ingatkan bolehlah tenang lepas PBS. Oh tidak... Saya terpilih (baca: terpaksa) untuk mewakili kelas saya untuk inovasi pendidikan. Last minute sediakan bahan dan skrip. Dihentam pula dengan panel tanpa belas kasihan huhu. Tak apalah, benda dah jadi. Habis je inovasi, kami pergi pantai dengan classmates untuk healing. Sempat juga ambil jubah konvokesyen UiTM dan jumpa Muna!! Pre-convo dengan Muna je, sebab kawan lain macam Chipsmore (kejap ada kejap takde).

Mei 2025

Masuk je bulan Mei dah start stress. Kenapa? Bibir flare-up teruk, nak makan susah, nak bercakap susah. Hell, nak senyum pun tak boleh weh! Nak nangis rasanya tapi sebab benda ni dah selalu jadi, terpaksalah santai je haha.

Start Mei je aku dah stress. Kenapa? Bibir aku flare-up. Nak makan susah. Nak cakap susah. Hell, nak senyum pun takleh. Nak nangis rasanya. 

Nasib baiklah flare-up tu sempat reda sebelum konvokesyen UiTM. Alhamdulillah, akhirnya saya bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi, first class tau haha. Bangga weh, sebab saya tahu susahnya belajar macam nak mati.

Jun 2025

Bermulalah praktikum saya. 

Honestly, I really hate to remember what happened during these period. Sekolah okay. Cikgu-cikgu okay. Murid-murid pun okaylah walaupun ada seorang dua yang mencabar keimanan. 

So, kat mana ujiannya?

Malasnya nak cerita balik. Cukuplah korang tahu yang terlalu banyak benda yang jadi. Sakit hati, sakit jiwa, sakit mental. First time sepanjang saya belajar di Melaka, baru kali inilah saya rasa sangat, sangat suffocated duduk di negeri ini. Hari-hari meratib nak balik JB.

Duit habis untuk beli barang dan bahan mengajar. Sampai tahap tak makan, ikat perut sebab komitmen bulanan tak lepas. Gastrik teruk, berminggu-minggu tak boleh tidur. Ingatkan, pengorbanan saya itu dilihat dan dihargailah.

Sebaris ayat "awak tak ada jiwa mengajar" cukup nak patahkan semangat saya. Tahan air mata weh sepanjang dia cakap. Sampai sekarang pedih kalau teringat.

26 Jun, saya pergi temuduga SPP. Mama, ayah dan Iji datang Melaka malam tu dan kami terus gerak ke Putrajaya. Sampai sekitar pukul 2 pagi, park kereta dan tidur dalam kereta sebab ayah kata tak payah bazir duit hotel. Bersiap untuk temuduga yang boleh dikatakan agak penting di surau random—satu pengalaman yang saya takkan lupa. 

Julai 2025

Julai datang dengan BIG—Bina Insan Guru. Perkhemahan 4 hari 3 malam. Banyak perkara best yang berlaku: kenal cikgu lain, belajar asas perkhemahan, belajar inovasi digital untuk pendidikan. Yang tak best… ytjt jelah.

Dan ya, saya memang tak suka bulan Julai. Julai 2025 pun tak terkecuali.

Ogos 2025

Tak sedar pun, praktikum dah nak habis. Cepat betul masa berjalan bila kita fokus untuk survive je instead of enjoying the process. 

September 2025

Habis praktikum, kami serumah pergi jalan-jalan ke Pusat Ikan Hiasan Negeri Sembilan—free entry, by the way. Lepas tu singgah Port Dickson sebelum masing-masing balik ke haluan sendiri.

Bila mama dan ayah datang ambik for the last time, kami singgah Taman Buaya dan Galeri Lebah Melaka. Selalu je lalu tapi itulah kali pertama singgah. Rupanya menarik juga.

Balik Johor, pergi kenduri kahwin abang Anis. Jumpa balik kawan-kawan sekolah. Bila ditanya tengah buat apa sekarang, segan sikit nak bagitahu yang kita dah officially menjadi penganggur kehormat haha.

Oktober 2025

Tak banyak yang berlaku. Duduk rumah besarkan perut je. Kita skip.

November 2025

Akhirnya—Konvokesyen PDPP. 

Masa naik pentas, rasa nak menangis. Dengan semua ketidakpastian, keraguan, dan persoalan tentang diri sendiri, saya tetap sampai ke penghujung. Hebat juga rupanya saya ni, heh.

Ohhh!! Muna datang weh konvo saya. Sanggup datang dari Terengganu, balik rumah dia di Muar, kemudian singgah tengok saya di Batu Pahat. Rasa sebak sebab entah apalah kebaikan saya sampai dapat kawan macam dia. Selain family, Munalah yang paling banyak jadi tulang belakang sepanjang diploma pendidikan ni. Terima kasih, Muna saya. Kasihmu tidak terbalas.

Pertengahan bulan, saya breakdown teruk. Nangis masa tengah mengecat rumah atuk. Adik pujuk bawa pergi Zus Coffee, tapi dia pula pasang lagu sedih dalam kereta. Makin meroyanlah aku :'D

Stress punya pasal, saya mulalah impulsive buying untuk tenangkan diri sendiri. Beli Kindle secondhand tapi RM300 jugaklah melayang. Dengan tak ada simpanan langsung, memang modal nekad je. Tapi dari situ jugalah, saya mula membaca balik. Mula cari rentak diri saya yang lama. 

Hujung November, keputusan temuduga SPP keluar juga akhirnya. Alhamdulillah, lulus. Setelkan medical check-up dan tunggu lagi untuk hebahan E-Graduan pula.

Dalam masa yang sama, Wan mula sakit. Masuk hospital sebab prolonged cough. Doktor sahkan paru-paru berair. Wan discharged with a diagnosis—kanser paru-paru tahap 4.

Disember 2025

Konvokesyen UiTM adik jatuh tepat pada hari jadi saya. Tapi sebab keadaan Wan tak stabil, ayah tak ikut sama ke Shah Alam. Sambut birthday dalam suasana yang sunyi dan berat.

9 Disember, Wan meninggal dunia. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

Selepas tu, banyak perkara berlaku. Makin sedih masa ni. Kawan kata gamon—betullah tu. Tak boleh, tak mampu dan tak sanggup nak lepaskan dia. Bertahun-tahun dah padahal. Tahun ni, akhirnya saya memilih untuk berhenti jadi bodoh haha. Saya mula bangun tahajud, buat istikharah. Dah tak minta dia jadi jodoh saya. Saya cuma minta Allah angkat perasaan ini, dan lembutkan hati saya untuk terima pengakhiran cerita yang memang bukan milik saya. 

Bila E-Graduan dibuka untuk kemaskini pilihan negeri penempatan, banyak perkara berubah. Banyak pertimbangan dibuat. Akhirnya, Allah membolak-balikkan hati saya ke arah keputusan yang jauh berbeza daripada apa yang orang jangka saya akan pilih. Saya dah malas nak stress, masa untuk "let go and let God".

Penghujung Disember, saya sekeluarga pergi ke IPG untuk mengambil transkrip. Dalam perjalanan balik ke Tangkak, kenderaan kami terlibat dalam kemalangan kecil. Pertama kali duduk zon kuning di ED, walaupun bukan sebagai pesakit. Tak habis dengan tu, kereta cousin pulak terlanggar kereta Exora mama. Hampir pula terlanggar babi hutan esoknya. Sampai sekarang saya terfikir... apalah agaknya hikmah yang Allah nak tunjuk ya dari semua ni?

Refleksi 2025

Kalau ditanya, 2025 tahun baik ke tak, honestly saya tak tahu nak jawab apa. Bukanlah tahun yang cantik sangat, tapi juga tak sia-sia.

Ada banyak hari saya bangun, teruskan hidup macam biasa, walaupun diam-diam menangis kat meja guru. Teruskan jugak, bukan sebab kuat, tapi sebab tak tahu kat mana nak berhenti.

Masuk 2026, azam saya bukan untuk jadi manusia luar biasa. Saya cuma nak jadi perempuan yang tenang je. Nak belajar detach dari benda-benda yang memang tak ditakdirkan untuk saya. Nak berhenti paksa diri faham sesuatu yang Allah belum izinkan untuk faham lagi.


Okaylah itu sahaja. Haha terpanjang pulak weh. Tak sengaja.

Jumpa lagi lain kali bila saya rajin nak update!

Selamat tahun baru semua!!

No comments:

Post a Comment

all time popular!